Jam Malaysia

Wednesday, February 1, 2012


Rajagobal tak pilih kasih





PENGENDALI skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyenarai pemain untuk membarisi Harimau Malaysia.


Sebaliknya, Rajagobal sentiasa bersikap profesional bagi memastikan skuad yang dibentuknya mampu menghadirkan gerun dalam kalangan pasukan lawan.
Justeru, Rajagobal telah memanggil beberapa muka baharu bagi menjalani kem latihan yang bermula Isnin lalu, antaranya Syazwan Yusoff, Fauzan Dzulkifli dan Veniche Elphi.
“Bagi melengkapkan satu pasukan yang sempurna dalam tempoh satu atau dua hari, ia sukar bagi mana-mana jurulatih.
“Jadi saya mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain baharu ini untuk mengisi kekosongan dan peluang ini adalah medan untuk mereka membuktikan keupayaan bersama skuad kebangsaan.
“Saya berharap mereka mampu berikan sesuatu kepada pasukan kebangsaan menjelang pertemuan menentang Kelantan malam esok (hari ini),” kata Rajagobal kepada Kosmo! semalam.
Sebagai ujian pertama, skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Bagi Rajagobal, pertemuan dengan skuad kendalian Peter James Butler itu lebih kepada melihat keupayaan dan keserasian pemain baharu bersama barisan sedia ada.
Selain mahu mencari ‘ramuan’ baharu, Rajagobal turut menganggap aksi malam ini sebagai salah satu persiapan bagi menghadapi kempen Piala Suzuki AFF pada November depan.
“Perlawanan menentang Kelantan boleh dianggap sebagai salah satu persiapan kita menjelang Piala Suzuki AFF di mana Malaysia dan Thailand diumumkan sebagai penganjur bersama untuk kejohanan kali ini.
“Saya mahu menggunakan masa dan peluang yang sedia ada (untuk memilih beberapa muka baharu) bagi menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya dijadual mengadakan perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi pada 24 Februari di Australia dan menentang Filipina lima hari kemudian.

Apabila Laungan Azan Bergema Di Gereja(Sekali - Sakala)

Bila Laungan Azan Bergema Di Gereja...
Pernahkah anda terfikir bahawa laungan azan akan berkumandang di dalam gereja?
Sewaktu menonton video yang bertajuk, ‘Unity Humanity For Peace’ di YouTube, penulis agak tertarik dengan ucapan seorang paderi yang berada di dalam sebuah gereja yang mengajak manusia untuk sentiasa mengekalkan keamanan di dunia dan mengharapkan rahmat dari Tuhan dalam setiap agama.
Lebih mengharukan, setelah selesai memberikan ucapan pembukaannya, laungan azan berkumandang di dalam gereja itu!
Malah, laungan azan yang merdu itu turut disertakan dengan maknanya sekali dalam klip berkenaan.
Azan itu dilaungkan oleh seorang pemuda beragama Islam, Ben Youcef yang juga seorang pelakon dan model.
Dia banyak terlibat dalam kegiatan dakwah.
Ketika azan dilaungkan oleh Ben Youcef, semua yang berada di dalam gereja itu tunduk dan duduk diam tanda hormat terhadap laungan azan yang menandakan kebesaran dan kesucian agama Islam.
Ia dirakamkan sewaktu berlangsungnya dialog antara agama yang dihadiri puak Yahudi, penganut Kristian dan juga penganut Islam di sebuah gereja dekat Universiti Southern California tahun lalu.
Menyingkap kisah hidup Ben Youcef, pemuda ini dilahirkan di Algeria dan telah melanjutkan pelajarannya ke London dengan mengambil jurusan pengurusan perniagaan serta mendalami ilmu teater.
Semenjak itu, Ben Youcef telah berkecimpung dalam dunia model selama hampir dua tahun dan banyak terlibat dalam dunia pengiklanan di New York.
Memetik kata-katanya di laman peribadi rasmi miliknya, www.benyoucef.com, objektifnya menjadi seorang pelakon adalah untuk membawa pemahaman yang baru iaitu budaya Timur Tengah ke seluruh dunia.
Dengan rasa rendah diri, Ben Youcef mengakui masih mengekalkan cara hidup yang sederhana supaya semua manusia dapat melihat keikhlasan dan kejujuran dalam memperjuangkan seni Islam yang dibawa olehnya – Oleh NAIMAH SHAARI

Saturday, January 28, 2012

United tersingkir

Manchester UnitedLiverpool FC
LONDON: Jaringan pada lewat permainan oleh pemain gantian, Dirk Kuyt menyaksikan Liverpool meraih kemenangan 2-1 ke atas Manchester United malam tadi untuk membolehkan kelab Merseyside itu menempah tiket ke kelompok 16 pasukan terakhir saingan Piala FA.

Kuyt menghukum pertahanan lemah United pada minit ke-88 dengan melakukan rembatan leret kencang menewaskan David de Gea selepas United gagal menangani sepakan gol oleh Pepe Reina.



Gol kemenangan oleh penyerang Belanda itu adalah kemuncak aksi dramatik bagi perlawanan pertama yang bebas daripada sebarang insiden tidak diingini oleh kedua-dua pasukan sejak insiden perkauman Luis Suarez terhadap pertahanan United, Patrice Evra musim ini.
Perlawanan mulanya tampak bakal dilangsungkan semula di Old Trafford selepas pemain tengah Korea, Park Ji-Sung memadam gol pembukaan Daniel Agger untuk Liverpool.

Sementara itu, kunjungan kedua Chelsea ke Loftus Road dicemari kontroversi dengan Juan Mata menyempurnakan sepakan penalti yang dipertikaikan untuk membolehkan skuad kendalian Andre Villas-Boas mara ke pusingan kelima Piala FA selepas menewaskan Queens Park Rangers (QPR) 1-0.

Pertembungan pertama kedua-dua pasukan Oktober lalu berakhir dengan Chelsea terpaksa bermain dengan 10 orang dan kapten mereka, John Terry didakwa bersikap perkauman terhadap pertahanan QPR, Anton Ferdinand.

Namun kali ini pertikaian tertumpu kepada penyerang Chelsea, Daniel Sturridge yang didakwa sengaja menjatuhkan badan akibat terjahan Clint Hill hingga meyakinkan pengadil, Mike Dean untuk memberikan sepakan penalti yang menjadi penentu keputusan perlawanan itu. – Agensi 

Benteng rapuh, PKNS cicir dua mata

PKNS FC
KELALAIAN benteng pertahanan menjadi punca PKNS FC tercicir dua mata di laman sendiri bertemu Sabah kelmarin, dan lebih mengecewakan kelebihan dua gol tuan rumah dipadamkan lawan hanya dalam tempoh lapan minit. 

“Secara keseluruhan pemain mempamerkan permainan baik terutama pada babak pertama dan awal babak kedua di mana penyerang import, Dawood Nicoise meledak dua gol (m-43 dan 52),” kata pembantu jurulatih, Anuar Abu Bakar yang menggantikan Abdul Rahman Ibrahim di tepi padang selepas pengendali itu digantung tiga perlawanan.
“Tetapi selepas bek tengah, Faizal (Nasir) digantikan kerana ketegangan otot, benteng kami mula goyah dan Sabah cepat menghidu peluang untuk merapatkan jurang.
“Sepatutnya selepas mendahului 2-0, pemain tidak perlu terlalu ghairah menambah jaringan, sebaliknya hanya perlu mengawal situasi dan bertahan. Apabila terlalu ke depan, ia memberi peluang kepada lawan melakukan serangan balas. 

“Akibatnya kami tercicir dua mata dan saya rasa keputusan ini perlu dijadikan pengajaran jika pemain mahu terus menyaingi pasukan Liga Super musim ini.” 

Anuar berharap kehadiran beberapa pemain dari Argentina dan Brazil yang akan diuji hari ini mampu mengisi slot terakhir pemain import PKNS FC, terutama di bahagian tengah bagi menyokong rentak permainan Nicoise yang cukup bertenaga. 

“Sebelum ini kami mempunyai masalah di bahagian penyudah, tetapi selepas Nicoise membuktikan kemampuannya, kami terasa kekurangan di bahagian tengah di mana tidak banyak umpanan cantik dihasilkan untuk penyerang dari Perancis itu,” kata Anuar. 
PKNS FC berdepan ujian lebih berat apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bertemu Terengganu selepas ini, dan Anuar berharap pemain lebih fokus sepanjang 90 minit serta tidak mengulangi kesilapan yang boleh membawa padah. 

Wenger belum menyerah


LONDON - Arsene Wenger belum mahu mengalah untuk membawa Arsenal kembali ke landasan yang betul meskipun kekecewaan di kalangan penyokong mereka kini semakin memuncak ekoran kegagalanThe Gunners meraih sebarang kejayaan buat tahun ketujuh berturut-turut.
Arsenal yang akan melayan kunjungan Aston Villa pada saingan Piala FA hari ini mahu membuktikan kebangkitan mereka selepas dikecewakan oleh Manchester United pada saingan Liga Perdana England minggu lalu.
Selepas kekalahan ke atas United itu, penyokong mereka memekik sambil mengatakan 'kamu tidak tahu apa yang kamu lakukan' kepada Wenger.
Arsenal kini berada di kedudukan kelima liga, ketinggalan empat mata di belakang pasukan yang menduduki tempat keempat, Chelsea.
Begitupun, kedudukan tersebut membolehkan penyokong Arsenal memaafkan Wenger kerana mereka masih berada di landasan yang betul untuk memburu tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Tetapi sekiranya mereka tewas kepada Aston Villa pada siangan pusingan keempat Piala FA hari ini, Wenger bakal berdepan kritikan yang lebih teruk daripada penyokong fanatik mereka.
Menyedari hakikat tersebut, Wenger tetap tenang malah masih yakin untuk mebawa Arsenal ke landasan yang betul.
Ditanya berkenaan kekalahan ke atas united itu, Wenger menjelaskan: ''Saya masih boleh menerima kekalahan tersebut. Saya tidak memikirkan kritikan penyokong, saya hanya memikirkan bagaimana cara kami boleh memenangi perlawanan.
"Saya tetap dengan pendirian saya bahawa macam-macam boleh berlaku dalam bola sepak.
"Reaksi penyokong terhadap kekalahan kami membuktikan bahawa mereka sentiasa berada di belakang kami.
"Apa yang mengecewakan saya ialah kami tidak beraksi pada tahap sebenar pada separuh masa pertama ketika menentang United minggu lalu, namun bangkit menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua tetapi nasib tidak menyebelahi kami. Kami seharusnya menang perlawanan tersebut," katanya.
Kini, harapan Arsenal diletakkan pada saingan Piala FA dan mereka bertekad untuk meneruskan perjuangan sehingga ke akhir bagi membuktikan The Gunners masih ada kualiti sebagai kelab yang perlu disegani. - AFP

Kelantan terus kuasai liga


KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kelantan mengekalkan penguasaan tangga teratas Liga Super apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan tangga tercorot, Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.
Ketiga-tiga gol pasukan tuan rumah dihasilkan pada babak kedua melalui Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-46, Mohd. Badhri Radzi pada minit ke-72 dan Dennis Antwi pada minit ke-79.
Kemenangan semalam memastikan Kelantan kekal pada puncak liga dengan 13 mata selepas lima perlawanan.
Pencabar terdekat, Terengganu juga garang apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut apabila jaringan tunggal Francis Forkey Doe pada minit ke-77 membantu skuad Penyu menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Jalan Besar.
Selangor pula menamatkan badi empat kekalahan ke atas T-Team pada musim lalu apabila menang 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Red Giants mendahului pada minit ke-35 hasil sepakan penalti Ramez Dayoub namun Zairo Anuar Zailani bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-48.
Azidan Sarudin muncul wira Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-77.
Kedah bertambah derita apabila tewas buat kali ketiga, 1-3 kepada Johor FC di Stadium Darul Aman.
Azi Shahril Azmi menjaringkan gol pertama Johor FC pada minit ke-45.
Skuad Lebah menambah dua lagi jaringan melalui Riduwan Ma'on pada minit ke-64 dan Muhd. Kaironnisam Sahabudin Hussain enam minit kemudian sebelum Khyril Muhymeen memberikan gol saguhati buat Kedah pada minit ke-81.
Di Stadium Negeri, Kuching Sarawak berjaya mengikat Negeri Sembilan 2-2 dengan Zamri Morshidi memastikan skuad Rusa pulang hampa apabila berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-86.
Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-45 melalui Ahmad Shakir Ali namun disamakan oleh Kalle Sone menerusi sepakan penalti pada minit ke-51.
Shakir Ali sekali lagi meletakkan Negeri Sembilan di hadapan pada minit ke-82 namun Zamri memastikan kegembiraan pelawat hanya kekal seminit apabila dia meledakkan gol penyamaan.
Di Stadium Hang Jebat, Perak terus mengikuti rapat kedudukan Kelantan dan Terengganu apabila menang tipis 2-1 dengan Felda United.

Effa Owana Cedera ...


Mmg Sakit .. huuu ~