Jam Malaysia

Saturday, January 28, 2012

United tersingkir

Manchester UnitedLiverpool FC
LONDON: Jaringan pada lewat permainan oleh pemain gantian, Dirk Kuyt menyaksikan Liverpool meraih kemenangan 2-1 ke atas Manchester United malam tadi untuk membolehkan kelab Merseyside itu menempah tiket ke kelompok 16 pasukan terakhir saingan Piala FA.

Kuyt menghukum pertahanan lemah United pada minit ke-88 dengan melakukan rembatan leret kencang menewaskan David de Gea selepas United gagal menangani sepakan gol oleh Pepe Reina.



Gol kemenangan oleh penyerang Belanda itu adalah kemuncak aksi dramatik bagi perlawanan pertama yang bebas daripada sebarang insiden tidak diingini oleh kedua-dua pasukan sejak insiden perkauman Luis Suarez terhadap pertahanan United, Patrice Evra musim ini.
Perlawanan mulanya tampak bakal dilangsungkan semula di Old Trafford selepas pemain tengah Korea, Park Ji-Sung memadam gol pembukaan Daniel Agger untuk Liverpool.

Sementara itu, kunjungan kedua Chelsea ke Loftus Road dicemari kontroversi dengan Juan Mata menyempurnakan sepakan penalti yang dipertikaikan untuk membolehkan skuad kendalian Andre Villas-Boas mara ke pusingan kelima Piala FA selepas menewaskan Queens Park Rangers (QPR) 1-0.

Pertembungan pertama kedua-dua pasukan Oktober lalu berakhir dengan Chelsea terpaksa bermain dengan 10 orang dan kapten mereka, John Terry didakwa bersikap perkauman terhadap pertahanan QPR, Anton Ferdinand.

Namun kali ini pertikaian tertumpu kepada penyerang Chelsea, Daniel Sturridge yang didakwa sengaja menjatuhkan badan akibat terjahan Clint Hill hingga meyakinkan pengadil, Mike Dean untuk memberikan sepakan penalti yang menjadi penentu keputusan perlawanan itu. – Agensi 

Benteng rapuh, PKNS cicir dua mata

PKNS FC
KELALAIAN benteng pertahanan menjadi punca PKNS FC tercicir dua mata di laman sendiri bertemu Sabah kelmarin, dan lebih mengecewakan kelebihan dua gol tuan rumah dipadamkan lawan hanya dalam tempoh lapan minit. 

“Secara keseluruhan pemain mempamerkan permainan baik terutama pada babak pertama dan awal babak kedua di mana penyerang import, Dawood Nicoise meledak dua gol (m-43 dan 52),” kata pembantu jurulatih, Anuar Abu Bakar yang menggantikan Abdul Rahman Ibrahim di tepi padang selepas pengendali itu digantung tiga perlawanan.
“Tetapi selepas bek tengah, Faizal (Nasir) digantikan kerana ketegangan otot, benteng kami mula goyah dan Sabah cepat menghidu peluang untuk merapatkan jurang.
“Sepatutnya selepas mendahului 2-0, pemain tidak perlu terlalu ghairah menambah jaringan, sebaliknya hanya perlu mengawal situasi dan bertahan. Apabila terlalu ke depan, ia memberi peluang kepada lawan melakukan serangan balas. 

“Akibatnya kami tercicir dua mata dan saya rasa keputusan ini perlu dijadikan pengajaran jika pemain mahu terus menyaingi pasukan Liga Super musim ini.” 

Anuar berharap kehadiran beberapa pemain dari Argentina dan Brazil yang akan diuji hari ini mampu mengisi slot terakhir pemain import PKNS FC, terutama di bahagian tengah bagi menyokong rentak permainan Nicoise yang cukup bertenaga. 

“Sebelum ini kami mempunyai masalah di bahagian penyudah, tetapi selepas Nicoise membuktikan kemampuannya, kami terasa kekurangan di bahagian tengah di mana tidak banyak umpanan cantik dihasilkan untuk penyerang dari Perancis itu,” kata Anuar. 
PKNS FC berdepan ujian lebih berat apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bertemu Terengganu selepas ini, dan Anuar berharap pemain lebih fokus sepanjang 90 minit serta tidak mengulangi kesilapan yang boleh membawa padah. 

Wenger belum menyerah


LONDON - Arsene Wenger belum mahu mengalah untuk membawa Arsenal kembali ke landasan yang betul meskipun kekecewaan di kalangan penyokong mereka kini semakin memuncak ekoran kegagalanThe Gunners meraih sebarang kejayaan buat tahun ketujuh berturut-turut.
Arsenal yang akan melayan kunjungan Aston Villa pada saingan Piala FA hari ini mahu membuktikan kebangkitan mereka selepas dikecewakan oleh Manchester United pada saingan Liga Perdana England minggu lalu.
Selepas kekalahan ke atas United itu, penyokong mereka memekik sambil mengatakan 'kamu tidak tahu apa yang kamu lakukan' kepada Wenger.
Arsenal kini berada di kedudukan kelima liga, ketinggalan empat mata di belakang pasukan yang menduduki tempat keempat, Chelsea.
Begitupun, kedudukan tersebut membolehkan penyokong Arsenal memaafkan Wenger kerana mereka masih berada di landasan yang betul untuk memburu tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Tetapi sekiranya mereka tewas kepada Aston Villa pada siangan pusingan keempat Piala FA hari ini, Wenger bakal berdepan kritikan yang lebih teruk daripada penyokong fanatik mereka.
Menyedari hakikat tersebut, Wenger tetap tenang malah masih yakin untuk mebawa Arsenal ke landasan yang betul.
Ditanya berkenaan kekalahan ke atas united itu, Wenger menjelaskan: ''Saya masih boleh menerima kekalahan tersebut. Saya tidak memikirkan kritikan penyokong, saya hanya memikirkan bagaimana cara kami boleh memenangi perlawanan.
"Saya tetap dengan pendirian saya bahawa macam-macam boleh berlaku dalam bola sepak.
"Reaksi penyokong terhadap kekalahan kami membuktikan bahawa mereka sentiasa berada di belakang kami.
"Apa yang mengecewakan saya ialah kami tidak beraksi pada tahap sebenar pada separuh masa pertama ketika menentang United minggu lalu, namun bangkit menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua tetapi nasib tidak menyebelahi kami. Kami seharusnya menang perlawanan tersebut," katanya.
Kini, harapan Arsenal diletakkan pada saingan Piala FA dan mereka bertekad untuk meneruskan perjuangan sehingga ke akhir bagi membuktikan The Gunners masih ada kualiti sebagai kelab yang perlu disegani. - AFP

Kelantan terus kuasai liga


KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kelantan mengekalkan penguasaan tangga teratas Liga Super apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan tangga tercorot, Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.
Ketiga-tiga gol pasukan tuan rumah dihasilkan pada babak kedua melalui Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-46, Mohd. Badhri Radzi pada minit ke-72 dan Dennis Antwi pada minit ke-79.
Kemenangan semalam memastikan Kelantan kekal pada puncak liga dengan 13 mata selepas lima perlawanan.
Pencabar terdekat, Terengganu juga garang apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut apabila jaringan tunggal Francis Forkey Doe pada minit ke-77 membantu skuad Penyu menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Jalan Besar.
Selangor pula menamatkan badi empat kekalahan ke atas T-Team pada musim lalu apabila menang 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Red Giants mendahului pada minit ke-35 hasil sepakan penalti Ramez Dayoub namun Zairo Anuar Zailani bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-48.
Azidan Sarudin muncul wira Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-77.
Kedah bertambah derita apabila tewas buat kali ketiga, 1-3 kepada Johor FC di Stadium Darul Aman.
Azi Shahril Azmi menjaringkan gol pertama Johor FC pada minit ke-45.
Skuad Lebah menambah dua lagi jaringan melalui Riduwan Ma'on pada minit ke-64 dan Muhd. Kaironnisam Sahabudin Hussain enam minit kemudian sebelum Khyril Muhymeen memberikan gol saguhati buat Kedah pada minit ke-81.
Di Stadium Negeri, Kuching Sarawak berjaya mengikat Negeri Sembilan 2-2 dengan Zamri Morshidi memastikan skuad Rusa pulang hampa apabila berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-86.
Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-45 melalui Ahmad Shakir Ali namun disamakan oleh Kalle Sone menerusi sepakan penalti pada minit ke-51.
Shakir Ali sekali lagi meletakkan Negeri Sembilan di hadapan pada minit ke-82 namun Zamri memastikan kegembiraan pelawat hanya kekal seminit apabila dia meledakkan gol penyamaan.
Di Stadium Hang Jebat, Perak terus mengikuti rapat kedudukan Kelantan dan Terengganu apabila menang tipis 2-1 dengan Felda United.

Effa Owana Cedera ...


Mmg Sakit .. huuu ~

Karier Mourinho mula terancam


SEPANYOL - Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho harus memenangi trofi Liga Juara-Juara dan Liga Sepanyol musim ini jika merancang mahu kekal lebih lama di Santiago Bernabeu.
Kelab gergasi Sepanyol itu kini muncul sebagai pendahulu liga apabila mengatasi juara bertahan, Barcelona dengan kele- bihan lima mata.
Namun, Real ditunjuk pintu keluar daripada saingan Piala Raja Sepanyol kelmarin selepas tewas kepada Barcelona menerusi agregat 3-4 apabila terikat 2-2 pada aksi suku akhir kedua di Nou Camp.
Pada aksi suku akhir pertama di Santiago Bernabeu, Real gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2.
Presiden Real, Florentino Perez dilaporkan hilang sabar terhadap pengendali berbangsa Portugal itu yang sering kali mencipta kontroversi dengan pihak media, pasukan lawan dan pegawai-pegawai pasukan.
"Isu keputusan perlawanan tidak menjadi masalah tetapi ia mengenai reputasi kelab.
"Tiada siapa menyangkal dengan kebolehan Mourinho sebagai jurulatih yang hebat tetapi situasi kini menjadi semakin sukar.
"Perez membawa Mourinho untuk menjulang lebih banyak trofi.
"Jika Mourinho berjaya membuat demikian, ia mungkin akan dimaafkan. Namun jika tidak, ia akan memberikan kesan yang lebih buruk kepada Real dan kontroversi yang sering menyelubungi Mourinho," kata sumber Real. - Agensi

Liverpool lontar amaran


LONDON - Penyerang Liverpool, Dirk Kuyt melaungkan amaran bahawa Manchester United bakal menjadi mangsa terbaharu mereka di Anfield.
Skuad The Reds bakal melayan kunjungan United menjelang aksi pusingan keempat Piala FA di Anfield malam ini.
Kelmarin, Liverpool tampil bergaya apabila mara ke pentas final Piala Liga selepas menyingkirkan pendahulu Liga Perdana England, Manchester City pada aksi separuh akhir.
Kejayaan tersebut hadir selepas skuad kendalian Kenny Dalglish itu menang dengan agregat 3-2 hasil kemenangan 1-0 pada aksi pusingan pertama sebelum mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi kedua kelmarin.
Justeru, Kuyt percaya, dia dan rakan-rakan sepasukan yang lain kini berada pada tahap prestasi terbaik bagi menumbangkan satu lagi kelab gergasi Manchester iaitu United.
"Percayalah, pemain-pemain semua sudah bersedia bagi berdepan United.
"Ia pasti akan menjadi sesuatu yang hebat sekiranya kami berjaya menewaskan United seperti mana yang kami lakukan ke atas City.
"Pada pertemuan dengan City, kami telah meletakkan sasaran kami yang tersendiri.
"Justeru, kami hanya perlu pastikan yang kami akan bekerja keras seperi mana ketika berdepan dan melakukan yang terbaik.
"Ketika menentang City, kami telah mempamerkan suatu persembahan berpasukan yang baik. Kami memang berhak layak ke pentas final," kata Kuyt.
Pada pertemuan menentang City, anak- anak buah Dalglish menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila kembali bangkit biarpun dua kali ketinggalan.
Kejayaan menumbangkan City, sekali gus memadam episod duka skuad The Reds yang tewas mengejut 1-3 di tangan Bolton Wanderers dalam saingan liga Sabtu lalu.
Kini, Liverpool diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Liga apabila dijangka tidak berdepan halangan sukar untuk menewaskan Cardiff City pada aksi final nanti. - Agensi

Tekad benam Bahrain


DALAM tempoh beberapa hari sahaja lagi, skuad Olimpik negara bakal membuat perhitungan semula dengan Bahrain pada aksi kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia Kumpulan C, 5 Februari depan.
Dijangka ‘terbang’ ke Manama pada Rabu depan, sudah tentu anak-anak buah Ong Kim Swee mahu melupakan nestapa dijinakkan pasukan kendalian Salman Shareeda dengan keputusan 2-3 meskipun selesa mendahului dengan kelebihan dua gol pada pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, November tahun lepas.
Mungkin ada yang sudah lupa betapa skuad Olimpik negara seolah-olah diajar erti sebenar permainan bola sepak apabila tewas menerusi tiga gol pantas jaringan pemain gantian Bahrain, Saad Salah Al- Amer dan Isa Ahmed Muthanna (dua gol) pada penghujung babak kedua pada perlawanan itu.
Paling memeritkan, Harimau Muda tewas kepada pasukan pelawat yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Fahad Tareq Showaiteb dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.
Dua gol cantik daripada permata muda negara, Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli dalam perlawanan itu juga seolah- olah tidak memberikan sebarang makna apabila mereka tewas, tambahan pula reputasi selaku juara bertahan Sukan SEA menewaskan musuh tradisi, Indonesia beberapa hari sebelum itu juga belum cukup untuk menghadirkan rasa gerun di hati pemain Bahrain.
Justeru, pemergian pemain muda negara ke sana kali ini pastinya bukan semata- mata mahu melengkapkan jadual perlawanan tetapi berdepan misi menebus semula maruah yang tercalar.
Buktikan kepada Bahrain betapa kekalahan kita tempoh hari hanyalah kerana faktor keletihan, dan kini tibalah giliran mereka pula untuk dimalukan.
Selain Bahrain, Malaysia juga tewas 0-2 dalam kedua-dua pertemuan menentang Jepun dan Syria sebelum ini, sekali gus menghuni tangga tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata.
Biarpun ‘pintu’ skuad negara menjejakkan kaki ke temasya Olimpik London kini dipotretkan tertutup rapat, Kim Swee sebaliknya masih belum mahu ‘mengibarkan bendera putih’ sebegitu sahaja dan yakin anak-anak buahnya mampu kembali bangkit mempamerkan aksi garang bagi membuktikan ‘kejantanan’ masing-masing.
“Sudah tentu saya melihat perlawanan Kelayakan Olimpik 2012 peringkat Kumpulan Zon Asia dari sudut yang positif.
“Pasukan ini sudah didedahkan dalam beberapa perlawanan antarabangsa dan saya yakin mereka lebih bersedia.
“Selain pendedahan, mereka juga dapat menimba pengalaman yang cukup tinggi. Namun, kami belajar daripada kesilapan lalu dan bersedia untuk memberikan yang terbaik menjelang pertemuan menentang Bahrain,” kata Kim Swee baru- baru ini.
Kehadiran semula penjaga gawang No.1 negara, Khairul Fahmi Che Mat yang kembali menyertai latihan meskipun ‘gagal dikesan’ sebelum ini juga pastinya melegakan Kim Swee.
Khairul Fahmi bersama tujuh lagi pemain bukan Harimau Muda iaitu Mohd. Zubir Azmi dan Muslim Ahmad (Terengganu), K. Gurusamy (Selangor), Ahmad Shakir Ali (Negeri Sembilan), Ahmad Fakri Saaraini (Felda United), Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS) dijangka kembali menyertai latihan esok selepas membantu pasukan masing-masing menghadapi aksi Liga Super malam ini.
Wan Amirzafran Wan Nadris (Harimau Muda B) pula juga dijangka kembali semula ke pangkuan pasukan dengan kadar segera selepas membantu pasukannya berdepan USM FC bagi aksi Liga Perdana malam tadi.
Anak-anak buah Kim Swee juga bakal berdepan cabaran Gombak United di gelanggang lawan sebagai aksi pembuka tirai Liga Singapura (Liga S) di Stadium Jurong West antara 10 atau 11 Februari depan, dan ia dilihat sebagai detik penentu kemampuan pasukan negara untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga-S musim ini.

Friday, January 27, 2012

Apek serah pada KAFA




KOTA BHARU - Penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek (gambar) yang dilaporkan tidak muncul pada hari pertama sesi latihan Kelayakan Olimpik kelmarin, berkata dia menyerahkan kedudukannya kepada majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Beliau yang masih berada di sisi skuad Kelantan di sini, enggan mengulas ketidakhadiran bersama skuad Ong Kim Swee di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), seperti yang disiarkan akhbar semalam.
Khairul Fahmi yang ditemui menyerahkan kepada KAFA untuk dia menyertai skuad Olimpik atau sebaliknya.
"Saya tidak boleh buat apa-apa (untuk lapor diri skuad ke Olimpik atau sebaliknya) sebab tidak dapat kata putus daripada KAFA," katanya.
Tinjauan Utusan Malaysia di kem latihan skuad Kelantan mendapati Khairul Fahmi menjalani latihan seperti biasa bersama rakan-rakan pasukannya dalam perlawanan persahabatan menentang skuad Piala Presiden negeri itu.
Sementara itu, KAFA menjelaskan 'kehilangan' Khairul Fahmi yang tidak hadir pada sesi latihan skuad kebangsaan disebabkan salah faham.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebenarnya KAFA telah memberi pelepasan kepada Khairul Fahmi untuk menyertai latihan skuad Olimpik.
Namun, katanya Khairul Fahmi harus berada dalam pasukan Kelantan 48 jam sebelum perlawanan menentang Kuala Lumpur yang akan berlangsung esok.
Beliau berkata, Khairul Fahmi sepatutnya boleh melapor diri di Wisma FAM kelmarin, tetapi dia perlu pulang untuk bersama skuad Red Warriors dalam tempoh tersebut dan kembali menyertai latihan skuad negara Ahad ini.
"Beliau sepatutnya boleh melapor diri pada 25 Januari di Wisma FAM tetapi menyangka perlu melapor diri hanya selepas perlawanan Kelantan menentang Kuala Lumpur.
"Saya meminta pengurusan Kelantan dan Apek menghubungi jurulatih pasukan Olimpik, Ong Kim Swee untuk menyelaras perkara ini dengan baik," katanya kepada Utusan Malaysiasemalam.
Beliau mengulas mengenai ketiadaan Khairul Fahmi pada hari pertama sesi latihan persediaan bagi menghadapi perlawanan Kumpulan C Kelayakan Olimpik menentang Bahrain, kelmarin.
Pemain Kelantan itu juga tidak memberikan sebarang alasan ketiadaannya di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini kepada Kim Swee, yang bagaimanapun masih cuba memberikan ruang dan tempoh kepadanya sehingga semalam.

N. Sembilan uji bekas pemain Atletico


KUALA LUMPUR - Selepas Jean Emmanuel Effa Owona, skuad Hoben Jang Hoben dalam usaha mengintai seorang lagi pemain import terbaru dari Brazil, Fernando Augusto de Abreu Ferreira, yang bermain pada bahagian pertahanan tengah.
Mempunyai reputasi tinggi kerana pernah beraksi dalam saingan La Liga bersama Atletico Madrid dan Racing Santander, pemain berusia 27 tahun itu pernah bermain bersama FC Porto pada peringkat remaja.
Menurut pengendali Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah, dia akan menguji pemain yang mempunyai ketinggian 1.85 meter itu selepas perlawanan Liga Super menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, esok.
"Dia baru tiba dan kami hanya berpeluang mengujinya dalam beberapa perlawanan persahabatan selepas kami pulang dari Kuching nanti. Berdasarkan pemerhatian, keadaan fizikalnya nampak baik dan bebas daripada sebarang kecederaan.
"Saya tidak sempat melihat aksinya hari ini kerana dia masih keletihan tetapi berdasarkan apa yang saya lihat pada pengalamannya, dia memang merupakan pemain yang hebat kerana pernah beraksi di peringkat tertinggi .
"Dia pernah bermain dengan pasukan simpanan Racing Santander dan Atletico Madrid, kelab terakhir disertai Fernando ialah IFK Mariehamn, sebuah kelab dari Finland dan pernah bermain dengan beberapa kelab lain di sekitar Eropah, " katanya.
Walaupun berasal dari Sau Paolo, Brzail, Fernando turut memegang kerakyatan Itali kerana pernah bermain di Torino semasa peringkat remaja.
Antara kelab yang pernah disertai Fernando selain Racing Santander (2003-2007) dan Atletico Madrid (2008-09), dia pernah bermain dengan kelab Slovenia, Olimpija Ljubljana dan Olympiakos Nicosia dari Cyprus.

Patrice Evra tak gentar




LONDON Pemain pertahanan Manchester United, Patrice Evra tidak takut untuk kembali ke Anfield bagi berdepan Liverpool pada aksi pusingan keempat Piala FA malam esok
Skuad bimbingan Alex Ferguson itu akan kembali ke Anfield buat kali pertama sejak isu perkauman yang membabitkan Evra dan penyerang Liverpool, Luis Suarez.
Begitupun, pemain berusia 30 tahun itu memberi jaminan kepada Ferguson bahawa dia memiliki kekuatan mental selaku ketua pasukan pada pertemuan itu.
Sebelum ini, Ferguson tidak menyenaraikan penyerang sensasi United, Wayne Rooney pada pertemuan menentang Liverpool kerana bimbing reaksi negatif para penyokong.
Namun Ferguson berkata, perkauman bukan isu penting tetapi sikap kedua-dua pemain itu membimbangkannya.
"Suatu usaha yang baik apabila menyaksikan Liverpool berusaha untuk menangani isu perkauman ini melalui media.
"Kamu harus ajar mereka ketika bertandang ke Manchester United.
"Sejujurnya, saya masih tidak dapat melihat keperluan untuk itu," kata Ferguson.
Suarez yang masih menjalani hukuman penggantungan lapan perlawanan dijangka akan berada di Anfield sebagai penyokong dan dia tidak akan bertemu Evra bagi mengelak senario yang tidak diingini berlaku.
Sehingga kini, Suarez masih enggan memohon maaf secara peribadi kepada Evra.
Dia mendakwa, tuduhan pemain pertahanan United itu tidak boleh dipercayai, sekali gus mempersoalkan keputusan Persatuan Bola Sepak (FA) England.
Ferguson yang tidak ragu-ragu mengenai keupayaan Evra untuk beraksi di Anfield mendakwa, personaliti dan prestasi konsisten telah menjadikan pemain itu sebagai calon bagi mengisi slot ketua pasukan United.
Sementara itu, Nemanja Vidic terpaksa direhatkan sehingga akhir musim ini kerana kecederaan ligamen ketika aksi Liga Juara-Juara. - Agensi

Thursday, January 26, 2012

Komunikasi punca 'ponteng'

KHAIRUL Fahmi (kiri) merenung jauh ketika menanti giliran ketika sesi  latihan pertamanya bersama Harimau Muda di Wisma FAM, Kelana jaya, petang semalam.
KHAIRUL Fahmi (kiri) merenung jauh ketika menanti giliran ketika sesi latihan pertamanya bersama Harimau Muda di Wisma FAM, Kelana jaya, petang semalam.
Apek enggan ulas isu 'gagal hadir' elak cetus kontroversi baru

MASALAH komunikasi dikaitkan sebagai punca penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat gagal hadir untuk latihan pusat hari pertama bersama skuad Harimau Muda, kelmarin.
Tanpa mahu memanjangkan isu itu, pemain berkenaan yang dikenali Apek tidak mahu memberi sebarang komen melainkan menyerahkan jalan penyelesaian kepada pihak pengurusan skuad Kelantan.
Berlaku sedikit salah faham kerana KAFA memang sudah memberi kebenaran kepada Apek untuk menyertai latihan bersama skuad negara. Dia (Apek) sudah ke Kuala Lumpur hari ini (semalam) untuk menyertai latihan negara dan memberi penjelasan sebenar yang berlaku. - Annuar Musa, Presiden KAFA
“Memang saya tahu dan perlu lapor diri bersama skuad Olimpik tapi saya tidak mahu komen mengenai hal ini bagi mengelakkan timbul masalah baru. Saya serahkan hal ini kepada pihak pengurusan memberi penjelasan dan membuat sebarang keputusan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi semalam menjelaskan betapa wujud sedikit masalah komunikasi yang berlaku menyebabkan masalah ini timbul.

“Berlaku sedikit salah faham kerana KAFA memang sudah memberi kebenaran kepada Apek untuk menyertai latihan bersama skuad negara. Dia (Apek) sudah ke Kuala Lumpur hari ini (semalam) untuk menyertai latihan negara dan memberi penjelasan sebenar yang berlaku,” katanya.

Apek yang juga penjaga gol nombor satu Kelantan musim ini dikatakan ‘ponteng’ pada sesi latihan pertama skuad Olimpik di Wisma FAM, petang kelmarin. 
Malah jurulatih skuad negara, Ong Kim Swee sendiri menjelaskan dia masih belum menerima sebarang penjelasan daripada Apek dan KAFA berhubung kegagalan penjaga gol itu untuk melaporkan diri pada latihan pertama skuad Olimpik.

Balotelli digantung 4 perlawanan

MANCHESTER - Penyerang kontroversi, Mario Balotelli digantung empat perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England semalam kerana memijak kepala pemain Spurs, Scott Parker pada perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Pemain berusia 21 tahun itu berdepan risiko digantung lebih banyak perlawanan jika dia mencabar keputusan tersebut apabila kes itu didengar hujung minggu ini.
Penggantungan semalam menyebabkan dia tidak dapat beraksi pada separuh akhir Piala Liga dan tiga perlawanan Liga Perdana.
Walaupun pemain itu tidak dilayangkan kad kerana tindakannya, pengadil Howard Webb mengakui dia pasti melayangkan kad merah jika dia melihat insiden tersebut.
Kenyataan Webb mengundang kemarahan Balotelli dan ejennya menyatakan pengadil Piala Dunia 2010 itu menipu tidak melihat insiden tersebut.
Selain aksi Piala Liga, Balotelli akan tidak beraksi dalam tiga perlawanan menentang Everton, Fulham dan Aston Villa.
Balotelli yang menjaringkan gol kemenangan City pada masa kecederaan hasil penalti 3-2 ke atas Spurs, dilihat memijak kepala pemain Parker. - AFP

Liverpool Mantap




LONDON – Di sebalik prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Perdana England, Liverpool tetap menampilkan keistimewaan tersendiri.
Mereka masih memiliki reputasi sebagai kelab yang perlu disegani dan awal pagi semalam skuad bimbingan Kenny Dalglish itu melakar sejarah apabila melangkah ke final Piala Liga 2012.
Kejayaan tersebut mengakhiri penantian selama enam tahun kelab dari Anfield itu untuk menjejak kaki ke final pada kejohanan utama.
Mereka akan membuat perhitungan dengan Cardiff City pada final di Wembley, 26 Februari depan.
Kali terakhir Liverpool beraksi di Wembley ialah pada tahun 1996.
Lebih menarik, kejayaan The Reds itu dicapai selepas menghampakan pendahulu Liga Perdana England, Manchester City.
Mereka menang dengan agregat 3-2 hasil kemenangan 1-0 pada aksi pusingan pertama sebelum mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi kedua awal pagi semalam.
Seperti dijangka, Steven Gerrard yang kembali dalam kesebelasan Liverpool menemui sasaran menerusi sepakan penalti bagi menyamakan kedudukan 1-1 selepas Nigel de Jong meletakkan City di hadapan.
Namun, selepas kejayaan Liverpool menyamakan kedudukan, City kembali mendahului perlawanan 2-1 menerusi jaringan Edin Dzeko.
Kedudukan tersebut hanya bertahan seketika kerana bekas pemain City, Craig Bellamy tampil sebagai pemusnah.
Bellamy menjaringkan gol penyamaan buat The Reds, sekali gus membawa Liverpool ke final Piala Liga.
Kali terakhir The Reds beraksi di final pada kejohanan domestik ialah pada tahun 2006 yang menyaksikan mereka muncul juara Piala FA selepas menewaskan West Ham di Cardiff.
“Saya berasa sangat gembira. Rasanya sudah lama tidak merasai saat seperti ini,” kata Gerrard.
“Sejak kami beraksi pada final Piala FA di Cardiff pada tahun 2006, kami rasakan sudah terlalu lama kelab ini tidak mencapai tahap seperti ini.
“Saya bangga dan kejayaan ini adalah hadiah buat semua penyokong kami.”
– Agensi

Mourinho tidak kecewa

BARCELONA, Sepanyol - Jose Mourinho tidak kecewa dengan taktikal bertahan yang digunakan selepas Real Madrid tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol awal pagi semalam.
Meskipun berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 dengan Barcelona di Stadium Camp Nou, Real selaku juara bertahan terpaksa akur dengan kehebatan Barca selepas tewas dengan agregat 4-3.
Pada pertemuan suku akhir pertama di Santiago Bernabeu minggu lalu, Real mencatat kekalahan 1-2.
Masa depan Mourinho semakin tergugat selepas dia diejek penyokong sendiri minggu lalu setelah laporan mendedahkan dia bertengkar dengan para pemain sebaik kekalahan tersebut.
Ketika ditanya adakah beliau kecewa dengan strategi pada perlawanan pertama, pengendali kelahiran Portugal itu menegaskan: "Tidak.
"Kami melalui satu perlawanan yang baik, para pemain menampilkan aksi yang sangat baik.
"Kami datang ke sini (Barcelona) untuk menang. Kami sedar, kami ketinggalan. Motivasi kami tinggi dan kami mahu menang."
Dalam pada itu, Mourinho dan para pemain Real sekali lagi mengkritik keputusan pengadil berikutan kekalahan pasukan tersebut.
Mourinho membidas tindakan pengadil ekoran jaringan gol Sergio Ra- mos yang tidak diterima sebelum pemain pertahanan itu dilayangkan kad merah kerana menghayunkan tangannya ke muka pemain Barcelona, Sergio Busquets.
Bagaimanapun, Mourinho enggan mengulas mengenai pengadil yang telah ditugaskan untuk perlawanan tersebut.
"Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil tersebut.
"Saya dengar para pemain saya memberitahu dalam bilik persalinan bahawa sukar untuk menang di sini. Saya tahu kerana saya pernah datang ke sini sebelum ini bersama Chelsea, Inter Milan dan Madrid dalam banyak perlawanan.
"Saya tidak mahu berfikiran negatif. Saya harap orang yang lebih mahir mengenai bola sepak daripada saya menyaksikan perlawanan ini," kata Mourinho. - Agensi

NAME: Fernando Augusto debAbreu Ferreira
UMUR: 28TAHUN[10/03/1984]
NEGARA:BRAZIL
TINGGI:185CM
POSISI:DEFFENDER
KELAB DULU:2008/2009 bermain dgn Atletico de Madrid

Sumber : Negeri Sembilan Fans 

Ghaddar & Antwi dijangka akan terus kekal dalam senarai Piala AFC, sementara Okine & Zakaria dijangka dipinjamkan/dilepaskan ke pasukan lain. Diberitakan mungkin ke pasukan Kuala Lumpur atau Perlis.

Jika benar, ini bermakna TRW masih memiliki 2 lagi koata pemain import untuk di daftarkan dalam Piala AFC. Manakala 2 pemain import untuk Liga Malaysia masih belum diputuskan sama ada mengekalkan Dennis Antwi & Ghaddar atau menukar dengan memasukkan pemain import baru di posisi pertahanan.

Tak kesal kecam Reds


LONDON - Kenny Dalglish mempertahankan kecaman keras terhadap pemain Liverpool hujung minggu lalu dengan menegaskan dia tidak akan malu untuk melakukannya apabila ia dirasakan perlu.
Dalglish yang tidak berpuas hati mengecam pemain tertentu pasukannya selepas Redstersungkur 1-3 kepada Bolton.
Dalglish, 60, yang jarang mengecam skuadnya, menuduh pemainnya kurang kesungguhan dan memberi amaran jika perkara itu berulang, pemain berkenaan akan disingkir.
Dalglish menegaskan dia tidak menyesal kerana mendedahkan kepada umum mengenai kecamannya.
"Saya fikir apa yang dikatakan ia terpaksa dibuat. Ia satu perkara yang sukar untuk dilakukan tetapi saya fikir ia satu perkara yang jujur.
"Akhirnya, saya tidak fikir sesiapa pun mampu membantah hakikat bahawa kami tidak pernah bermain seperti kemampuan sebenar.
"Saya tidak fikir sesiapa pun mampu berlindung di balik sebuah persembahan yang kami paparkan Sabtu lalu, saya tidak fikir sesiapa pun mampu cuba melakukannya," katanya. - AFP

Tevez kena potong gaji RM5.7j





MANCHESTER - Penyerang Manchester City, Carlos Tevez sekali lagi terlibat dalam kontroversi, kali ini dia didenda potong gaji enam minggu kerana pulang ke Argentina tanpa kebenaran kelab.
Sumber kelab itu bagaimana pun tidak menyatakan butiran terperinci jumlah gaji Tevez yang dipotong tetapi media tempatan melaporkan Tevez dibayar 200,000 pound (RM961,000) seminggu.
Ini bermakna gaji Tevez dipotong sebanyak kira-kira 1.2 juta pound atau RM5.7 juta.
Akibat persengketaan dengan City, secara keseluruhan Tevez rugi lebih 9 juta pound (RM42 juta) kerana didenda, kehilangan pendapatan serta bonus.
Penyerang Argentina itu mengorbankan 6 juta pound (RM29 juta) daripada bonus kesetiaannya selepas memohon untuk bertukar kelab musim lalu.
Media melaporkan dia belum dibayar sejak November lalu, selain dipotong gaji dua minggu pada September lalu.
Tevez dilaporkan mahu City dan dikaitkan dengan dua gergasi Itali, AC Milan dan Inter Milan, selain gergasi Perancis, Paris St Germain (PSG).
Namun, City menyatakan dengan jelas mereka tidak akan menerima sebarang tawaran yang gagal memenuhi tuntutan kewangan kelab itu.
Pemain berusia 27 tahun itu, yang tidak pernah beraksi sejak enggan memanaskan badan dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah, September lalu, menimbulkan kemarahan kelab Liga Perdana Inggeris itu kerana menghilangkan diri sejak November lalu. Dia dilihat mahu kekal dengan keadaan tersebut sehingga tempoh perpindahan pemain ditutup hujung bulan ini.
"Sebagai respons kepada spekulasi, kelab mengesahkan Carlos Tevez didapati bersalah dalam mesyuarat disiplin yang diadakan pada 21 Disember kerana kesalahan salah laku berat, iaitu pelanggaran serius kontrak dan telah didenda potongan gaji enam minggu," kata sumber tersebut. - REUTERS

Balotelli tinggalkan bola England?



MANCHESTER - Penyerang Manchester City, Mario Balotelli rasa ditindas dan mungkin meninggalkan bola sepak England jika apa yang dilihatnya sebagai 'layanan tidak adil' berterusan, kata ejennya kelmarin.
Pemain Itali berusia 21 tahun itu berdepan penggantung empat perlawanan selepas didakwa berkelakuan ganas oleh Persatuan Bola Sepak (FA), ketika pasukannya menang 2-1 ke atas Tottenham Hotspur pada pertembungan Liga Perdana Inggeris Ahad lalu.
Ia merupakan insiden terbaru yang menjadi perhatian, selepas beberapa siri kontroversi sejak dia menyertai City pada 2010.
"Saya fikir dia rasa tertindas, dia tidak boleh berterusan begitu,"
"Kami mempunyai imej yang amat jelas mengenai kariernya sejak awal. Saya beritahu media secara terbuka Mario bahawa perlu kekal di Manchester City sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun. Dia harus membantu kelab untuk projek penting dan membesar sebagai seorang lelaki dan seorang pemain.
"Yang jelas jika dia digantung setiap tiga atau empat perlawanan atas alasan atau yang lain, kami tidak mampu berterusan begitu dan ini perlu dihentikan.
"Jadi jika itu masalahnya dan pengadil England dan FA England mahu Mario keluar dari England, maka kami akan mengambilnya secara serius walaupun jika ia bukan begitu dan bukan hasrat kami," kata ejen Mino Raiola kepada BBC Radio 5 Live.
Balotelli menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan hasil penalti 3-2 ke atas Spurs, tetapi kemudian mendapati dirinya dalam bahaya selepas ulang tayang video menunjukkan dia seperti mahu memijak kepala pemain tengah Tottenham, Scott Parker.
Pengadil Howard Webb tidak mengambil apa-apa tindakan.
Balotelli dibuang padang tiga kali dalam tempoh kurang 18 bulan dengan kelab itu, diberi peluang merayu tetapi penolong jurulatih, David Platt mengandaikan bahawa tindakan itu kadang kala sia-sia.
Kelab itu kalah dalam rayuan mereka terhadap kad merah pertahanan tengah, Vincent Kompany awal bulan ini. - Reuters