Jam Malaysia

Wednesday, February 1, 2012


Rajagobal tak pilih kasih





PENGENDALI skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyenarai pemain untuk membarisi Harimau Malaysia.


Sebaliknya, Rajagobal sentiasa bersikap profesional bagi memastikan skuad yang dibentuknya mampu menghadirkan gerun dalam kalangan pasukan lawan.
Justeru, Rajagobal telah memanggil beberapa muka baharu bagi menjalani kem latihan yang bermula Isnin lalu, antaranya Syazwan Yusoff, Fauzan Dzulkifli dan Veniche Elphi.
“Bagi melengkapkan satu pasukan yang sempurna dalam tempoh satu atau dua hari, ia sukar bagi mana-mana jurulatih.
“Jadi saya mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain baharu ini untuk mengisi kekosongan dan peluang ini adalah medan untuk mereka membuktikan keupayaan bersama skuad kebangsaan.
“Saya berharap mereka mampu berikan sesuatu kepada pasukan kebangsaan menjelang pertemuan menentang Kelantan malam esok (hari ini),” kata Rajagobal kepada Kosmo! semalam.
Sebagai ujian pertama, skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Bagi Rajagobal, pertemuan dengan skuad kendalian Peter James Butler itu lebih kepada melihat keupayaan dan keserasian pemain baharu bersama barisan sedia ada.
Selain mahu mencari ‘ramuan’ baharu, Rajagobal turut menganggap aksi malam ini sebagai salah satu persiapan bagi menghadapi kempen Piala Suzuki AFF pada November depan.
“Perlawanan menentang Kelantan boleh dianggap sebagai salah satu persiapan kita menjelang Piala Suzuki AFF di mana Malaysia dan Thailand diumumkan sebagai penganjur bersama untuk kejohanan kali ini.
“Saya mahu menggunakan masa dan peluang yang sedia ada (untuk memilih beberapa muka baharu) bagi menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya dijadual mengadakan perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi pada 24 Februari di Australia dan menentang Filipina lima hari kemudian.

Apabila Laungan Azan Bergema Di Gereja(Sekali - Sakala)

Bila Laungan Azan Bergema Di Gereja...
Pernahkah anda terfikir bahawa laungan azan akan berkumandang di dalam gereja?
Sewaktu menonton video yang bertajuk, ‘Unity Humanity For Peace’ di YouTube, penulis agak tertarik dengan ucapan seorang paderi yang berada di dalam sebuah gereja yang mengajak manusia untuk sentiasa mengekalkan keamanan di dunia dan mengharapkan rahmat dari Tuhan dalam setiap agama.
Lebih mengharukan, setelah selesai memberikan ucapan pembukaannya, laungan azan berkumandang di dalam gereja itu!
Malah, laungan azan yang merdu itu turut disertakan dengan maknanya sekali dalam klip berkenaan.
Azan itu dilaungkan oleh seorang pemuda beragama Islam, Ben Youcef yang juga seorang pelakon dan model.
Dia banyak terlibat dalam kegiatan dakwah.
Ketika azan dilaungkan oleh Ben Youcef, semua yang berada di dalam gereja itu tunduk dan duduk diam tanda hormat terhadap laungan azan yang menandakan kebesaran dan kesucian agama Islam.
Ia dirakamkan sewaktu berlangsungnya dialog antara agama yang dihadiri puak Yahudi, penganut Kristian dan juga penganut Islam di sebuah gereja dekat Universiti Southern California tahun lalu.
Menyingkap kisah hidup Ben Youcef, pemuda ini dilahirkan di Algeria dan telah melanjutkan pelajarannya ke London dengan mengambil jurusan pengurusan perniagaan serta mendalami ilmu teater.
Semenjak itu, Ben Youcef telah berkecimpung dalam dunia model selama hampir dua tahun dan banyak terlibat dalam dunia pengiklanan di New York.
Memetik kata-katanya di laman peribadi rasmi miliknya, www.benyoucef.com, objektifnya menjadi seorang pelakon adalah untuk membawa pemahaman yang baru iaitu budaya Timur Tengah ke seluruh dunia.
Dengan rasa rendah diri, Ben Youcef mengakui masih mengekalkan cara hidup yang sederhana supaya semua manusia dapat melihat keikhlasan dan kejujuran dalam memperjuangkan seni Islam yang dibawa olehnya – Oleh NAIMAH SHAARI