Jam Malaysia

Thursday, January 26, 2012

Kapten Kenya 'pukau' Johor FC



KAPTEN skuad kebangsaan Kenya, Pascal Ochieng dilihat bakal menjadi pemain import pertama Johor FC musim ini selepas menunjukkan aksi menarik pada sesi ujian bersama skuad Liga Super itu.
Difahamkan, pengurusan skuad Lebah berusaha untuk menurunkan pemain berusia 26 tahun itu yang beraksi di posisi pertahanan tengah dalam pertemuan menentang Kedah di Stadium Darul Aman Alor Setar, Sabtu ini.
Ochieng yang beraksi dalam Liga Perdana Kenya merupakan penerima anugerah pertahanan terbaik pada 2011.
Pengurus pasukan Johor FC, Wan Nizam Wan Omar berkata, setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan aksi Ochieng dan tidak menolak kemungkinan untuk pemain import itu membuat kemunculan pertama Sabtu ini.
“Jika kita gagal menandatangani mana-mana pemain import ketika menentang Kedah, itu bukan satu masalah kerana kita mempunyai pemain tempatan yang telah bermain dengan baik.
“Justeru, kita tidak terburu-buru untuk menandatangani kontrak dengan pemain terbabit jika ia sekadar untuk memenuhi kuota pemain import,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, meskipun skuadnya kalah dalam tiga perlawanan sebelum ini, beliau masih menaruh keyakinan dengan kemampuan pemain sedia ada yang telah bermain dengan baik setakat ini.
Jelasnya, skuad Lebah perlu meningkatkan lagi kesefahaman selain menajamkan penyudah.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak permohonan skuad Lebah untuk menandatangani dua pemain Brazil iaitu penyerang, Tito Fernando dan pemain tengah, Tiago Lima kerana gagal memenuhi kriteria pemain import untuk beraksi pada Liga Malaysia.
Pada perlawanan pembukaan untuk musim ini, Johor FC menang 2-1 menentang pendatang baru Liga Super, PKNS FC sebelum kalah pada tiga perlawanan iaitu 2-0 ketika menentang Negeri Sembilan, tewas 2-1 kepada Kelantan dan 1-0 dengan Perak.

No comments:

Post a Comment