Jam Malaysia

Wednesday, January 25, 2012

Bukan masa meratap sedih









MANCHESTER - Selepas mengharungi saingan Liga Perdana yang tidak menentu dengan kekalahan terbaru 3-1 kepada Bolton, Sabtu lalu, Kenny Dalglish menyeru pemain Liverpool bangkit untuk menghadapi minggu yang amat genting, di mana dua gergasi Manchester - City dan United bakal menanti dalam tempoh tiga hari.
Hari ini, anak-anak buah Dalglish akan melayan kunjungan pendahulu Liga Perdana, City di Anfield dalam separuh akhir kedua Piala Liga. Mereka sekadar memiliki bekalan tipis 1-0 hasil daripada kemenangan di Eastlands, 11 Januari lalu.
Tiga hari kemudian, Liverpool berdepan pula musuh ketat, United juga di Anfield untuk pertarungan pusingan keempat Piala FA. Ini adalah pertemuan pertama kedua-dua pasukan bermusuh itu sejak insiden penyerang mereka, Luis Suarez digantung lapan perlawanan kerana didapati bersalah mencemuh pertahanan United, Patrice Evra dengan kata-kata perkauman, 15 Oktober lalu.
Selepas kedudukan dalam liga tampak tidak menentu, ketinggalan enam mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea, iaitu kedudukan yang akan memberi slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, kini Dalglish mahu anak-anak buahnya memberi tumpuan kepada Piala FA dan Piala Liga.
Enam tahun tanpa mengucup sebarang trofi, Dalglish sedar Liverpool tidak boleh menyerah kepada pendahulu liga, City kerana mereka hanya selangkah saja untuk ke perlawanan akhir Piala Liga, dan pasukan itu juga tidak boleh tunduk kepada United kerana impian memburu Piala FA masih terbuka.
Pengurus Liverpool itu juga memberi amaran, pemainnya tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama ketika tewas kepada Bolton, Sabtu lalu jika memasang hajat untuk beraksi di Wembley.
"Kami memegang kelebihan yang tipis (menentang City). Kami kena turun dalam perlawanan ini dan bertarung habis-habisan.
"Ia bukan perlawanan yang akan memberi laluan mudah kepada kami. Mereka (City) mengharungi pertarungan yang menakjubkan ketika menentang Tottenham, Ahad lalu dan kekal menerajui liga, jadi saya percaya mereka akan tampil dengan sangat kuat.
"Adalah penting untuk kami melakukan tugas sendiri. Kalau berjaya melakukannya, sambil dibantu oleh tuah, saya percaya kami tidak akan kecewa.
"Harap perlawanan ini akan menjadi sesuatu untuk diraikan oleh semua orang. Banyak sokongan diberikan kepada kami, jadi kami kena memberikan sesuatu untuk semua yang menyokong dan memastikan sokongan mereka kekal. Kami tidak boleh selalu menyerahkan kepada mereka sama ada mahu meninggalkan pasukan atau tidak, tetapi kami yang perlu menyakinkan mereka untuk kekal,'' tegas Dalglish.
Dalglish mengaku, pasukannya bermain dengan amat teruk ketika kalah kepada Bolton. Justeru, beliau menyeru pemain agar menunjukkan rasa bangga apabila menyarung jersi Liverpool dengan memberi persembahan terpuji.
"Saya tidak tahu kenapa mereka tidak bersikap sebegitu pada perlawanan lepas tetapi mereka perlu cepat berubah.
"Sama ada dalam minda mereka sudah memikirkan dua perlawanan akan datang, saya tidak pasti tetapi setiap perlawanan yang kami main adalah penting kerana kami menghormati setiap lawan yang ditemui.
"Sekarang, kami perlu memikirkan perlawanan dengan Manchester City dan kami harus menyelesaikan masalah kami sendiri," kata Dalglish.
Dalglish dijangka melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Stewart Downing dan Dirk Kuyt dalam kesebelasan utama.
Penalti pada minit awal perlawanan oleh Steven Gerrard membezakan mereka dengan City ketika kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir pertama Piala Liga , dua minggu lalu.
Namun, City kembali menemui keyakinan selepas menang 3-2 ke atas pencabar utama kejuaraan liga, Tottenham, Ahad lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment