Jam Malaysia

Wednesday, January 25, 2012

Semua pengurusan pasukan Liga Malaysia digesa memberikan sesi penerangan mengenai gejala rasuah kepada pemain dan kakitangan pasukan bagi mengelak kegiatan itu menghantui prestasi pasukan.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar membuat gesaan itu bagi mengelak gejala rasuah kembali menghantui Liga Malaysia.
“Masalah ini pernah melanda liga bola sepak negara sebelum ini dan memberikan kesan yang amat dasyat sehingga ramai pemain ternama menghadapi hukuman penggantungan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sekiranya masalah rasuah kembali menghantui pasukan, ia akan memberi kesan kepada prestasi semasa FAM yang kini mula melangkah baik berbanding negara Asia Tenggara yang lain.
Bagi mengatasi ‘penyakit’ itu menular semula, pengurusan pasukan perlu mengambil langkah awal dengan memberikan sesi penerangan kepada pemain, katanya.
Raja Ahmad Zainuddin berkata pasukan boleh secara bebas memanggil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penceramah bebas dari semasa ke semasa untuk memberikan penerangan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang bimbang keselamatan pemain pasukannya akan terjejas akibat diancam ‘bookie’ berikutan pendedahan kegiatan menjual perlawanan membabitkan pemain pasukan itu.
Penolong Pengurus pasukan Liga Perdana Perlis, Hamunir Hamzah berkata kebimbangan itu wujud setelah beberapa pemain termasuk ‘awang import’ membuat aduan bimbang keselamatan mereka dan keluarga akibat kemungkinan diancam ‘bookie’ memandangkan kes itu kini disiasat SPRM dan polis.

No comments:

Post a Comment